Mukaddimah
Rukun
Iman adalah asas dan sendi kepercayaan kita kepada agama Islam yang
kita anuti. Dengan mempercayai apa yang diwajibkan kepada kita, maka
baharulah dinamakan kita beriman kepada Allah SWT. Ini kerana, di dalam
Islam ada perkara-perkara yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar
tetapi wajib dipercayai dengan sepenuh hati. Ia adalah perkara-perkara
samiyyat (yang hanya didengar). Allah SWT menyatakan di dalam al-Quran
pada awal surah al-Baqarah, ayat 3:
الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
“Iaitu
mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan
menginfakkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada
mereka.”
Oleh
itu, seseorang yang tidak meyakini akan perkara-perkara ghaib di dalam
Islam, maka mereka sebenarnya tidak beriman kepada al-Quran dan
selanjutnya mereka tidak beriman kepada Nabi-nabi dan Rasul-rasul dan
pastinya mereka tidak beriman kepada Allah SWT yang mewahyukan al-Quran
itu.
Natijah
daripada keimanan kepada yang ghaib ini sangat penting, iaitu
menjadikan muslim itu sentiasa berwaspada dalam kehidupannya. Ini
kerana, setiap perbuatannya di atas dunia ada implikasinya di akhirat,
iaitu sama ada akan dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT ataupun
dicampakkan ke dalam neraka, wal’iyazubillah!
Rukun iman ada enam perkara:
1. Beriman kepada Allah SWT
Beriman
kepada Allah SWT bermaksud, seseorang itu wajib mengenali Allah yang
disembahnya dan meyakini bahawa Allah itu wujud, Allah yang menciptakan
alam ini dan sebagainya lagi. Muslim juga wajib mengimani apa yang telah
ditetapkan oleh Allah SWT kepada manusia dan seluruh alam ini walaupun
ia kelihatan tidak rasional pada akal fikiran manusia. Atas alasan
inilah, seorang muslim wajib mempelajari ilmu usul, tauhid atau akidah
bagi menetapkan keyakinannya kepada Allah SWT. Ilmu inilah yang lebih
dikenali dengan nama Sifat 20, yakni mengetahui dengan tafsil 20 sifat
yang wajib bagi Allah SWT. Alangkah aibnya jika mengaku beriman kepada
Allah SWT tetapi tidak mengenali Allah SWT.
2. Beriman kepada para malaikat
Malaikat
dijadikan Allah SWT sebagai makhluk yang taat kepada
perintah-perintah-Nya. Ada sepuluh nama malaikat dan tugasnya yang harus
kita ketahui iaitu, Jibril yang menyampaikan wahyu; Mikail iaitu
penurun rezeki; Israfil, iaitu peniup sangkakala atau terompet pada hari
kiamat; Izrail iaitu pencabut nyawa makhluk; Raqib dan Atid, iaitu
malaikat kiraman katibin yang mencatat amalan baik dan jahat manusia;
Munkar dan Nankir, iaitu dua malaikat yang ditugaskan Allah SWT bagi
menanyakan soalan di alam barzakh dan dua malaikat terakhir, iaitu Malik
dan Ridzwan yang ditugaskan menjaga Neraka dan Syurga.
3. Beriman kepada kitab-kitab
Kitab-kitab
ini bermaksud, apa yang telah diwahyukan oleh Allah SWT kepada
rasul-rasul-Nya yang menjadi panduan atau syariat dalam kehidupan. Ada
empat buah kitab yang harus kita ketahui, iaitu Taurat diturunkan kepada
Nabi Musa a.s; Zabur diturunkan kepada Nabi Daud a.s; Injil diturunkan
kepada Nabi Isa a.s dan terakhir al-Quran yang dittitipkan kepada Nabi
Muhammad saw. Di samping kitab-kitab, turut diturunkan kepada beberapa
nabi ialah suhuf-suhuf yang berupa keterangan ringkas mengenai
hukum-hakam atau sesuatu syariat. Misalnya suhuf yang diberikan kepada
Nabi Ibrahim.
4. Beriman kepada para rasul
Para
rasul diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia sebagai penunjuk jalan
keselamatan. Mereka membimbing manusia daripada penyembahan yang salah,
misalnya menyembah berhala atau sesama makhluk kepada menyembah Allah
yang Maha Esa, dan seterusnya menjadi model kehidupan bagi seluruh
umatnya. Sebab itulah Allah SWT mengutuskan para rasul ini daripada
kalangan manusia agar mereka mampu ditauladani serba-serbi dalam
sebarang aspek kehidupan. Terdapat 25 orang nabi lagi rasul yang wajib
diimani oleh seorang muslim, iaitu:
- Nabi Adam a.s.
- Nabi Idris a.s.
- Nabi Nuh a.s.
- Nabi Hud a.s.
- Nabi Salih a.s.
- Nabi Ibrahim a.s.
- Nabi Luth a.s. (anak saudara Nabi Ibrahim a.s)
- Nabi Ismail a.s. (anak Nabi Ibrahim a.s.)
- Nabi Ishaq a.s. (anak Nabi Ibrahim a.s.)
- Nabi Ya’akub a.s.
- Nabi Yusuf a.s. (anak Nabi Ya’akub a.s.)
- Nabi Ayub a.s.
- Nabi Syu’aib a.s.
- Nabi Musa a.s.
- Nabi Harun a.s. (saudara Nabi Musa a.s.)
- Nabi Zulkifli a.s.
- Nabi Daud a.s.
- Nabi Sulaiman a.s. (anak Nabi Daud a.s.)
- Nabi Ilyas a.s.
- Nabi Ilyasa’ a.s.
- Nabi Yunus a.s.
- Nabi Zakaria a.s.
- Nabi Yahya a.s. (anak Nabi Zakaria a.s. & duapupu kepada Nabi Isa a.s)
- Nabi Isa a.s.
- Nabi Muhammad s.a.w
5. Beriman kepada hari akhirat
Hari
Akhirat adalah suatu hari di mana semua manusia akan dikumpulkan oleh
Allah SWT di Padang Mahsyar. Tujuannya, semua manusia akan dihadapkan ke
mahkamah Allah SWT dan diadili segala amal perbuatannya di atas dunia
ini. Di dalam mahkamah Allah SWT itulah, manusia akan diberikan kitab
atau buku yang semasa di dunia dahulu ditulis oleh Malaikat Kiraman
Katibin (Raqib dan ‘Atid) dan seluruh anggota tubuhnya sendiri menjadi
saksi amal perbuatannya di dunia dahulu. Amal perbuatan manusia juga
akan ditimbang atas timbangan al-Mizan. Kemudian, kita semua akan
melalui satu jambatan yang dikenali titian sirat al-mustaqim (titian
yang lurus) sebelum dapat masuk ke syurga Allah SWT. Mana-mana manusia
yang amal jahatnya melebihi amal kebaikan atau tidak beriman kepada
Allah SWT, maka mereka tidak akan berjaya melintasi neraka dan akan
terjatuh ke dalam neraka bagi menerima azab di atas kelalaian mereka di
dunia. Manusia yang selamat melintasi titian itu akan masuk ke dalam
syurga Allah SWT yang penuh kenikmatan sebagai ganjaran di atas keimanan
dan ketakwaan mereka di atas dunia dahulu. Semua manusia akan melalui
proses ini tanpa kecuali, hatta mereka seorang nabi atau rasul.
6. Beriman kepada qada’ dan qadar
Qada’
dan qadar bermaksud, seluruh kehidupan manusia dan perjalanan alam di
atas muka bumi ini hakikatnya sudah ditentukan dan termaklum dalam ilmu
Allah SWT. Apa yang akan terjadi sesaat daripada ini adalah di dalam
ilmu Allah SWT. Ia bermaksud, kita hanya perlu berusaha dan hasilnya
Allah SWT yang memberikannya, kerana ia adalah dalam pengetahuan Allah
SWT dan Allah SWT sendirilah yang berhak menentukan akhir sesuatu
perkara. Sungguh pun Allah SWT sudah tahu apa yang akan terjadi, namun
sebagai manusia kita wajib berusaha ke arah kebaikan, diiringi dengan
doa bersungguh-sungguh dan di akhirnya bertawakkal kepada Allah SWT,
agar kesudahannya kelak beroleh kebaikan. Inilah yang disebutkan oleh
Imam al-Ghazali dan ditegaskan lagi oleh Baginda Muhammad SAW: “Tidak
tertolak qada’ itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur
itu melainkan oleh kebajikan.” (Hadis riwayat Tirmidzi daripada Salman
al-Farisi r.a)
Di
samping itu, ulamak membahagikan qada’ itu sendiri kepada dua, iaitu
qada’ mubram dan qada’ muallaq. Qada’ mubram adalah seuatu yang tetap
akan berlaku dan tidak boleh ditolak, misalnya orang muda akan menjadi
tua, setiap yang hidup pasti akan mati. Manakala, qada’ muallaq ialah
sesuatu yang dapat ditolak dengan doa atau dengan berbuat kebajikan,
misalnya bersedekah yang menolak musibah, sebagaimana yang dicatatkan di
atas.
Berikut dipetik daripada sebuah artikelhttp://www.ipislam.edu.my/index.php/artikel/read/98/doa-perlu-disertai-usaha bagi menerangkan lebih rinci tentang maksud di atas.
Kata
Imam al-Ghazali: “Jika ada orang bertanya, apa manfaat doa itu padahal
qada’ (ketentuan Allah) tidak dapat dihindarkan. Ketahuilah bahawa qada’
juga boleh menghindarkan suatu bala dengan berdoa. Maka doa menjadi
sebab bagi tertolaknya suatu bala bencana dan adanya rahmat Allah
sebagaimana juga halnya, perisai menjadi sebab bagi terhindarnya
seseorang daripada senjata dan air menjadi sebab bagi tumbuhnya
tumbuh-tumbuhan di muka bumi.”
Perkara
ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 39
yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa juga yang dikehendaki-Nya dan
Dia juga menetapkan apa juga yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) pada
sisi-Nya ada ibu segala suratan.”
Pengarang
kitab Bahr al-Madzi membawakan masalah qada’ mubram dan qada’ muallaq
mengenai makna kedua-dua jenis qada’ itu dan hubungannya dengan doa:
“(Kata ulama) qada’ mubram itu ialah suatu yang ditentukan Allah di
dalam ilmunya, tidak boleh diubah dan tidak boleh ditukarnya dan qada’
muallaq itu seperti suatu perkara yang berta’liq sekiranya engkau berdoa
nescaya diperkenankan apa-apa doamu dan sekiranya engkau berbuat bakti
dan silaturrahim nescaya dipanjangkan umurmu dan sekiranya tiada
diperbuatkan bakti dan tiada berdoa, tiadalah diperkenankan dan ditambah
umur dan bertentang dengan barang yang di dalam ilmu-Nya. Maka qada’
muallaq itulah yang ditolak oleh doa.” (Lihat Bahr Al-Madzi 13-14/196)